BANGI, Rabu – Dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa pihakmnya tidak dapat menghubungi Datuk Seri Sanusi Md Nor kelmarin, sebelum beliau ditahan pada jam 2.30 pagi di Mont Kiara, Kuala Lumpur semalam dinafikan Menteri Besar Kedah itu.
Memetik Berita Harian Sanusi berkata, beliau sempat berkomunikasi bersama seorang pegawai kanan Bukit Aman dari jam 10 malam sehingga 12.30 tengah malam semalam menerusi WhatsApp.
Jelasnya, beliau berunding agar tidak ditahan kerana bersedia memberi kerjasama penuh untuk hadir ke Mahkamah Selayang pada jam 9 pagi.
“Saya nak betulkan sidang media Ketua Polis Negara, dengan penuh rasa hormat saya kepada Tan Sri, sidang media semalam tak betul, saya ada komunikasi dengan pegawai Bukit Aman supaya tidak ditangkap.
“Saya tahu komplot ini nak tangkap dulu kerana kerana tangkapan itu bagi (memberi) satu naratif bahawa telah berlaku satu kesalahan. Kalau tangkap depan orang ramai lagi dia syok, jadi saya elak untuk ditangkap, saya kata boleh beri kerjasama untuk hadir ke mahkamah.
“Notis ke mahkamah itu saya dapat daripada Berita Harian Online jam 6 lebih. Saya kata saya tak ada notis apa, mereka daftar kes secara dalam talian mungkin jam 5 lebih lepas waktu pejabat, nampak tak komplot itu? Jarang orang lepas waktu pejabat fail kes, lepas itu saya tak ada (terima) notis apa,” katanya.
Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengakui tidak dapat menjawab panggilan yang diterima pihak polis termasuk panggilan kepada pegawainya kerana sedang bermesyuarat dan beliau menghubungi semula individu itu menerusi WhatsApp.
“Saya ada print skrin (tangkap layar), saya print semua itu. Dia (pegawai) kata nak ambil keterangan, nak sambung lagi keterangan. Saya kata keterangan apa lagi? Dia kata nak sambung lagi, saya tanya terus nak buat tangkapankah? Dia kata nak ambil keterangan.
“Saya kata kalau nak tangkap, beritahu betul-betul sebab saya seboleh-bolehnya tak mahu ditangkap. Pasal saya warganegara yang baik, saya sentiasa beri kerjasama kepada polis. Saya tak pernah lari sekali pun.
“Jadi tak, tak masuk akal nak tangkap saya. Sampai saya habis mesyuarat lebih kurang pukul 11.40 malam saya kata kena balik (rehat). Saya dari pagi ada tiga mesyuarat, dah tak mampu kena balik mandi apa semua dulu,” ujarnya.
Menurut Sanusi. Pegawai terbabit memintanya hadir ke Balai Polis Hartamas untuk diambil keterangan segera.
“Saya kata nak sambung keterangan mana-mana balai boleh pergi, ini dia spesifik (Balai Polis Hartamas), kemudian dia sah untuk tangkapan, saya kata kalau nak tangkap, saya tak mahu pergi.
“Saya bagi komitmen 100 peratus jam 9 pagi saya akan berada di Mahkamah Selayang. Tak perlu tangkap saya, saya nak lari mana, saya Menteri Besar. Dia tetap suruh saya hadir, saya kata tak apa, saya dah habis, nak tidur, nak rehat,” tambahnya.
Ujar Sanusi, selepas tamat perbualan WhatsApp itu, beliau menghubungi seorang pegawai kanan polis agar tidak melakukan tangkapan terhadapnya, bagaimanapun pada jam 2.30 pagi sekumpulan anggota dan pegawai polis datang menahannya.
“Saya ucap terima kasih kepada anggota polis yang sangat profesional, saya tak salahkan mereka. Mereka jalankan tugas berdasarkan arahan.
“Tahap profesionalisme yang tinggi ditunjukkan anggota polis Bukit Aman, mereka sopan dan saya tidak dikasari. Saya diberi peluang untuk mandi, gosok gigi dan minum kopi.
“Tapi saya kata jangan gari, kalau gari ini penjenayah sangat, jadi dia tak gari. Saya dibawa ke Balai Polis Gombak, tak masuk lokap, diletak dalam bilik mesyuarat.
“Saya diambil keterangan satu kes lain, empat soalan saja,” katanya.
Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu empat soalan yang diajukan berkaitan kenyataannya dalam program ‘Keluar Sekejap’ bahawa orang bukan Islam lebih ramai mengamalkan rasuah daripada Muslim.
Jelasnya lagi, perkara itu diberitahu menerusi maklumat dan fakta yang diperoleh daripada seorang Pegawai Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Empat soalan itu saja, jadi saya duduk situ (balai) sampai jam 8.30 pagi, lepas itu terus ke mahkamah. Tapi mereka (polis) sangat profesional, saya nampak mereka serba salah. Mereka bekerja atas arahan, saya pun kasihan mereka.
“Jadi dakwaan Ketua Polis Negara terutama sekali dakwaan saya reject call (menolak panggilan) tak mahu bekerjasama sama sekali tidak benar,” katanya.
Semalam, Sanusi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.
Beliau turut berhadapan satu lagi pendakwaan di Mahkamah Sesyen Selayang, atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.