BANGI, Khamis – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa ramai orang kenamaan Melayu berada dalam ketakutan pada masa ini berikutan mereka tidak senang dengan prestasi kerajaan sekarang yang tidak baik berdasarkan pelbagai sebab.
Menurutnya dalam kenyataan di Twitter, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap menyalahgunakan kuasa dengan mengugut untuk mendedahkan kertas siasatan oleh pihak polis berkenaan Menteri-Menteri UMNO yang lama.
Perkara itu menyebabkan mereka enggan menyertai sebarang gerakan yang memiliki pendapat yang sama kerana takut sekiranya mereka dikenalpasti dan diambil tindakan oleh kerajaan.
Selain itu, dakwa Tun M, ada di antara mereka yang takut jawatan yang disandang ditukar kepada jawatan lebih rendah, atau dilucut terus serta kontrak mereka ditarik balik atau diganggu.
Bukan setakat itu sahaja, katanya mereka juga takut orang tertentu akan membuat laporan polis dan melakukan siasatan
selain ugutan untuk menghantar kereta polis ke hadapan rumah mereka dan dimasukkan ke dalam tahanan polis.
Oleh yang demikian, Tun berkata, siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) perlu dilakukan dan bukannya untuk ugutan politik kerana jika benar jenayah berlaku, tindakan undang-undang hendaklah diambil.
Tegasnya, amat tidak bertanggungjawab jika diguna untuk kepentingan politik parti.
“Kalau hendak dedah, dedah semualah. Dedah berkenaan Menteri sekarang pun. Saya tahu ada kertas siasatan terhadap Anwar sendiri, walaupun saya tidak lihat. Polis bagi tahu saya semasa saya Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan itu.
Undang-undang dibuat untuk semua orang, bukan untuk parti lawan sahaja. Apakah ugutan dan tindakan seperti ini diizin oleh demokrasi? Katanya dalam kenyataan itu.