BANGI, Rabu – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan rakyat agar menjauhi perasaan hasad dengki dan amalan fitnah memfitnah.
Titah Seri Paduka, rakyat juga perlu mengelakkan diri daripada berfikiran sempit dan negatif kerana sifat serta amalan itu tidak akan mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara.
“Beta ingin mengajak seluruh rakyat bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut dalam berbicara, halus dalam berpesan, harmoni dalam ikatan persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan.
“Di sini kita nasihatkan jauhi lah dengki mendengki fitnah memfitnah dan sifat yang negatif kerana tidak mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/ 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Bersempena kedatangan Tahun Baharu Hijrah, Seri Paduka turut meminta rakyat Malaysia untuk bersatu padu membentuk perpaduan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan adat resam demi membangunkan negara tercinta serta mensyukuri kemakmuran yang dinikmati di Malaysia hari ini.
“Dalam konteks negara Malaysia, semangat dan roh yang perlu kita hijrah hari ini ialah kesatuan dan perpaduan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa serta adat resam untuk membangunkan negara pertiwi.
“Penyatuan dan kesepaduan kaum Muhajirin dan Ansar yang berlaku 1,400 tahun lalu adalah semangat hijrah yang wajar dijadikan pedoman utama dalam mengurus kepelbagaian dan kerencaman negara,” titahnya.
Kira-kira 6,000 tetamu hadir Sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan hari ini yang bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia MADANI’.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke majlis itu.
Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Dalam perkembangan sama, Bekas Ketua Pengarah Institusi Kefahaman Islam (IKIM), Datuk Dr Abdul Monir Yaacob diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini.
Selain itu, Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakr Amad pula diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.