BANGI, Khamis – Penjualan rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape kini dilihat sangat mudah diakses telah dijual secara berleluasa di semua tempat termasuk kedai serbaneka tanpa sebarang kawalan mahupun undang-undang bagi perkara tersebut.
Profesor Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan cecair nikotin daripada Akta Racun 1952 menyebabkan tiada kawalan dalam penjualan vape seterusnya memberi kesan negatif kepada kesihatan generasi muda.
“Vape ni adalah satu benda yang dilarang dalam undang-undang tetapi sekarang bila kita lihat bahawa industri vape mempengaruhi para peniaga, penjual untuk meletakkan vape dalam kategori yang mudah dicapai.
“Kalau kita tengok rokok pun orang jual di belakang kaunter dan ada larangan 18 tahun ke bawah tidak boleh beli rokok tetapi untuk vape tiada.
“Bila undang-undang tak ada, memang susahlah kerajaan nak kawal penjualan, pengiklanan serta promosi vape ni,” jelasnya.
Tambah Prof Dr Rafidah, KKM sepatutnya menjadi pelindung kepada kesihatan rakyat Malaysia dan bukannya merisikokan kesihatan rakyat hanya demi memungut hasil cukai daripada penjualan produk tersebut.
“Kementerian Kesihatan ni sepatutnya menjadi pelindung pada semua orang kan yang akan ambil tindakan semaksima mungkin untuk meminimakan mudarat ke atas rakyat.
“Bila mereka sendiri yang pegang kuasa ini dengan menghilangkan satu akta yang boleh menguatkuasakan larangan ke atas vape dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas ciapan yang dimuat naik seorang pengguna akaun Twitter, Ooi Beng Cheang yang menunjukkan penjualan vape yang diletakkan bersebelahan mainan kanak-kanak.
Dalam pada itu, Rang Undang Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang sebelum ini dikenali RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 masih tidak boleh diluluskan semasa Persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung Jun lalu.
Sebaliknya, RUU itu perlu dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan.
Penjualan rokok elektronik yang dijual secara berleluasa itu mendapat kecaman banyak pihak kerana boleh menggugat kesihatan orang awam.
Terbaru tular rokok elektronik dijual bersebelahan peralatan mainan yang dianggap seolah-olah mahu dijual untuk kanak-kanak.