BANGI, Rabu – Akta Hasutan 1948 yang masih lagi digunakan Malaysia hari ini merupakan undang-undang yang digubal sebelum kemerdekaan dan tidak lagi relevan untuk diguna pakai di Malaysia hari ini.
PEJUANG dalam satu kenyataan semalam menggesa Kerajaan Madani untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 memandangkan sudah wujud’undang-undang’di bawah Kanun Keseksaan yang cukup untuk dituduh di bawah kes ini.
“PEJUANG menegur dengan keras kerajaan serta rakan-rakan gabungannya kerana sehingga kini gagal memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan kini menggunakan undang-undang yang mereka kritik secara hebat dahulu serta mempertahankan undang-undang tersebut,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.
PEJUANG turut menegur Kerajaan Madani yang kononnya dulu giat mengkritik untuk memansuhkan akta tersebut, namun kini seolah-olah ‘hilang ingatan’ akan perjuangan mereka dahulu.
“PEJUANG juga berpandangan bahawa rentetan APA yang berlaku tempoh hari iaitu penahanan pada jam 3.00 pagi sedangkan Menteri Besar Kedah tersebut hanya perlu hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang jam 9.00 pagi pada hari yang sama adalah keterlaluan dan mempunyai potensi untuk menakut-nakutkan Rakyat biasa yang tidak berjawatan.
“PEJUANG juga melahirkan rasa terkilan bahawa Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Komunikasi & Digital mempertahan penggunaaan Akta Hasutan 1948 sedangkan tugas tersebut harus digalas oleh Peguam Negara.
“Ia membawa persepsi pendakwaan politik walaupun melibatkan institusi diraja di mata rakyat kebanyakkan,” katanya.
Dalam pada itu, PEJUANG turut meluahkan rasa kesal akan tindakan melampau Kerajaan Madani yang menahan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada jam 3 pagi iaitu enam jam sebelum perbicaraan beliau.
Jelasnya, tindakan itu membawa persepsi pendakwaan politik walaupun ia melibatkan institusi diraja.
Terdahulu, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen Selayang atas kedua-dua tuduhan menghasut dalam satu ceramah di Selayang, Selangor minggu lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Muhammad Sanusi didakwa mengikut perenggan 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
0