BANGI, Jumaat – Kerajaan dinasihatkan supaya tidak terburu-buru menggubal satu undang-undang khas bagi kesalahan provokasi 3R iaitu agama, bangsa dan raja-raja hanya kerana Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15, 12 Ogos ini.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Sabariah Mohamed Salleh berkata, penggubalan undang-undang khas berkaitan isu 3R itu perlu dikaji secara mendalam supaya tiada kelompongan dalam undang-undang tersebut.
“Saya harap kerajaan akan betul-betul melakukan kajian terperinci sebelum melaksanakan akta ini sebab kita tak nak jadi macam dulu di mana akta berita palsu kena bincang semula dan sebagainya.
“Diharapkan kalau kerajaan gubal apa-apa akta contoh berkaitan 3R ni , mereka kaji dengan betul dan bukannya sesuatu yang kita buat terburu-buru sebab pilihan raya dah dekat,” ujarnya.
Tambah Prof Dr Sabariah, isu 3R ini sering dimainkan ahli politik demi mendapatkan sokongan dan undi rakyat.
Jelas beliau, rakyat lebih mementingkan isu semasa negara yang seharusnya menjadi fokus utama selain daripada menggunakan isu perkauman setiap kali berkempen.
“Mereka lebih fokus tentang pembangunan, ekonomi negara dan banyak lagi perkara lain yang boleh ahli politik fokuskan selain perkauman.
“Saya ingin lihat bagaimana ahli politik menukar naratif kempen politik mereka selain memburukkan kaum mungkin boleh beritahu apa yang dia boleh buat untuk negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi TV Pertiwi untuk mengulas tindakan kerajaan yang ingin menggubal satu akta khas berkaitan isu 3R.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mesyuarat pertama berkaitan isu 3R akan hari ini bersama Pasukan Petugas Undang-Undang (Legal Task Force) bagi melihat isu tersebut daripada aspek undang-undang.
Pasukan itu juga akan berbincang lebih lanjut dan mendapatkan pandangan daripada beberapa pihak seperti Majlis Peguam, badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.