BANGI, Jumaat – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah memfailkan tuntutan saman terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung dua kes fitnah.
Beliau berkata, surat tuntutan itu berkaitan dakwaan Saifuddin bahawa beliau mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah dan menuduhnya menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) sebanyak RM1.6 bilion untuk tujuan lain.
Tambah beliau, surat tuntutan saman fitnah tersebut telah dihantar oleh peguamnya kepada Saifuddin melalui e-mel pada malam Khamis dan serahan tangan pada hari ini.
Muhammad Sanusi menegaskan, perkara itu tidak boleh lagi dibiarkan dan perlu diperbetulkan menerusi tindakan undang-undang.
Terdahulu, media melaporkan Muhammad Sanusi mencabar akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin berhubung isu dana MARRIS dan REE.
Muhammad Sanusi berkata, maklumat dinyatakan Menteri Dalam Negeri itu tidak benar kerana bersifat mengelirukan, berniat jahat untuk memfitnah dan bermotifkan politik.
Menurutnya, baki peruntukan MARRIS yang tidak dibelanjakan sebanyak RM259 juta ada dalam simpanan tetap Kerajaan Negeri dan ia dilaporkan dalam penyata kewangan serta diaudit oleh Jabatan Audit Negara.
Muhammad Sanusi juga menyifatkan, serangan dan fitnah yang dilakukan terhadap beliau oleh pimpinan gabungan Pakatan Harapan adalah kerana mereka mencemburui pencapaian negeri Kedah.
Dalam perkembangan terbaharu, Saifuddin menyatakan beliau tidak menerima sebarang notis tuntutan daripada Muhammad Sanusi itu.
Tambahnya, beliau masih menunggu notis tuntutan tersebut dan menegaskan bahawa dirinya mudah didekati pada bila-bila masa.