BANGI, Jumaat – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah memfailkan tuntutan saman terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung dua kes fitnah.
Beliau berkata, surat tuntutan saman fitnah tersebut telah dihantar kepada Saifuddin menerusi e-mel pada malam Khamis dan serahan tangan pada Jumaat.
Menurutnya, tindakan saman tersebut adalah berhubung isu dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan kecurian unsur nadir bumi (REE).
“Saya nak umum, saya sudah failkan (saman) dan hantar ‘letter of demand’ kepada Saifuddin atas dua fitnah. Peguam saya e-mel kepada dia malam ini dan esok (Jumaat) kita buat serahan tangan.
“Kalau dia tak jawab dalam tempoh yang diberikan, kita akan mulakan proses saman,” katanya ketika berucap dalam program ceramah ‘Taujihat Pimpinan: Munajat perdana mohon keamanan dan menentang kezaliman’ di Dewan Al-Hana, Sik pada malam Khamis.
Muhammad Sanusi berkata, perkara itu tidak boleh lagi dibiarkan dan perlu diperbetulkan menerusi tindakan undang-undang.
“Wajib saman! Tak boleh biarkan sebab dia (Saifuddin) tuduh saya pencuri REE, dia juga tuduh saya guna peruntukan MARRIS sebanyak RM1.6 bilion yang sepatutnya duit penyelenggaraan jalan (tetapi dakwa) dibuat benda lain.
“Dia longgok kesalahan Menteri Besar UMNO terdahulu sebelum 2014 atas kepala saya padahal saya tak tahu apa pun, dia ingat dia seorang reti (pandai) ‘menyerang’,” katanya.