BANGI, Jumaat – Bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan gagal dalam permohonan untuk mengetepikan dua pertuduhan rasuah RM6.9 juta membabitkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Hakim, Rozina Ayob memutuskan demikian selepas mendengar hujahan tambahan daripada peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dan responden oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi dan Mohd ‘Afif Ali.
“Permohonan pihak pembelaan ditolak, maka prosiding seterusnya dijalankan sebagaimana yang dijadualkan sebelum ini.
“Mahkamah menetapkan perbicaraan kes dibuat selama lapan hari, bermula 25 hingga 27 Mac; 29 serta 30 April tahun depan dan 20 hingga 22 Mei tahun depan,” kata Rozina.
Beliau berkata, pada 1 Disember depan, mahkamah tetapkan untuk pengurusan kes tersebut.
Semasa prosiding, Rasyidah Murni berkata, seramai 27 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Beliau turut mengesahkan bahawa, semua dokumen telah diserahkan namun senarai saksi akan dibekalkan dalam masa terdekat.
Pada 29 Mei lalu, Wan Saiful memfailkan permohonan untuk membatalkan dua tuduhan itu, dengan alasan pertuduhan dikemukakan ke atasnya adalah cacat. – SINARHARIAN