BANGI, Sabtu – Menyatakan Nabi Muhammad SAW sebagai tuhan, tidak mempunyai jantina dengan menafsir sendiri sebuah hadis dengan menyatakan Nabi Muhammad tiada kemaluan dan sebagainya.
Itu antara ajaran sesat Si Hulk yang semakin terpengaruh sehingga tular satu keluarga yang mengakui menganut ajaran itu baru-baru ini.
Ajaran yang diasaskan dan dibawa oleh Suhaini Bin Mohammad atau Suhai Ibni Mohammad atau Si Hulk telah bermula di Johor dan Melaka sejak awal 2020.
Jualan produk air Si Hulk dikatakan sebagai platform tarikan dan pengaruh ke arah ajaran ini yang mengaburi mata orang ramai.
Produk air yang mempunyai stokis di setiap negeri berjaya dilariskan dengan mendakwa air berkenaan membolehkan seseorang hidup lebih lama.
Ajaran sesat ini didapati sedang bergiat aktif di New Zealand termasuk video keluarga berkenaan yang dipercayai berada di sana dengan umpan dan janji bahawa mereka boleh hidup lama dan mewah di luar negara.
Bagaimanapun golongan muda terutamanya remaja turut dikesan terpengaruh dengan ajaran sesat ini yang kian menular di Malaysia menerusi media sosial dan medium Google Meet.
Berikutan itu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 telah memutuskan bahawa ajaran dan fahaman SiHulk sebagai sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Tindakan penguatkuasaan telah diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyalurkan maklumat mengenai ajaran dan kegiatan kumpulan ini.
Dalam pada itu, EXCO Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata fatwa negeri Johor yang diwartakan bertarikh 22 Julai 2021 telah menyatakan bahawa ajaran Suhaini Si Hulk ini merupakan ajaran sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariat dan akhlak Islam.
“Si Hulk ini telah pun diistiharkan sebagai sesat bahkan haram melalui keputusan fatwa yang telah pun diwartakan pada 22 Julai 2021 lagi.”
“Mereka mendakwa Nabi Muhammad sebagai tuhan kita dengarkan viral tu nabi itu adalah Allah itu antara ciri pertama yang jauh terpesong daripada pegangan Ahli Sunnnah Wal Jmaah itu sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan terkini Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil turut mendedahkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah mengsan ajaran ini sedang menular di Melaka dan pihaknya sedang melakukan pemantauan.
“Kita kesan ada beberapa lokasi di Merlimau jadi kita dalam pemantauan melibatkan remaja dan dewasa. Saya tak boleh sebut berapa tapi dalam pemantauan kita di media sosial atau dari laporan keluarga mereka sendiri yang melaporkan tentang penglibatan anak-anak atau suami mereka.
Pada 11 Jun lalu, seorang pengikut ajaran SiHulk berjaya ditangkap Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam operasi melumpuhkan ajaran itu di rumahnya dekat Jasin.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan bersama isteri dan tiga anaknya kira-kira jam 8.30 malam Ahad lalu dan pihaknya turut merampas risalah ajaran sesat itu.
Katanya lagi, di Melaka sahaja setakat pengetahuan pihaknya dianggarkan antara 10 hingga 20 orang pengikut ajaran SiHulk.
Dalam perkembangan lain, kilang minuman yang berada di Johor, Selangor dan Indonesia sudah ditutup selepas sijil halal mereka ditarik semula kerana tidak mematuhi piawaian ditetapkan pada 3 Jun 2021.
Bagaimanapun ketika ini ajaran Si Hulk dilihat masih bergiat aktif.
Tanpa rasa bersalah, segan silu, lebih ramai rakyat Malaysia khususnya golongan muda kini mendakyah dan membuat video trend yang sama mempromosi ajaran ini.
Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan semalam mengarahkan JAKIM bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membanteras ajaran sesat SiHulk.
Bagaimanapun, menerusi pemantaua kami akaun facebook Suhaini Mohamad yang mempunyai lebih seribu orang pengikut masih aktif menyebarkan fahaman Si Hulk.
Dalam perkembangan lain, Mohd Fared berkata Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sukar membuat tangkapan terhadap pengikut ajaran SiHulk kerana dipercayai masih berada di New Zealand.
Namun, sekiranya mereka pulang ke negeri ini, tangkapan boleh dibuat mengikut undang-undang sedia ada.