BANGI, Sabtu – Vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy menghina undang-undang negara berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada konsert Good Vibes Festival 2023 di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor malam tadi.
Selain daripada menghina undang-undang LGBT negara, vokalis kumpulan itu juga bertindak kurang ajar dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Kerajaan Malaysia sambil memegang botol arak semasa berada di atas pentas.
Tidak cukup dengan itu, Healy kemudian mencium pemain bassnya, Ross McDonalds di atas pentas, satu tindakan yang pernah dilakukannya ketika mengadakan konsert di Dubai.
Atas kebiadabannya itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengarahkan pembatalan serta-merta Festival Good Vibes yang sepatutnya berlangsung sehingga Ahad.
Menerusi ciapan di Twitter, Fahmi Fadzil turut memaklumkan akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan laporan penuh insiden itu.
Semalam, persembahan kumpulan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 yang berlangsung di Sepang dihentikan selepas Healy bertindak menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.
Sementara itu, penganjur acara, Good Vibes menerusi satu kenyataan mengakui pihaknya kesal dengan tindakan The 1975 yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.