BANGI, Sabtu – Kerajaan mengarahkan pembatalan serta merta penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang sepatutnya berlangsung hingga esok.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil berkata, Penganjur acara berkenaan juga digesa untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket yang menempah untuk mengikuti konsert pada festival berkenaan.
“Saya sudah mengarahkan pembatalan serta merta baki festival berkenaan yang sepatutnya berlangsung hari ini hingga esok, 23 Julai.
“Saya faham keputusan ini akan memberi implikasi kepada penonton yang sudah membeli tiket. Sehubungan itu, saya juga sudah menggesa penganjur mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Fahmi berkata, beliau sudah memanggil penganjur Festival Good Vibes 2023 iaitu Future Sound Asia, susulan aksi dan kenyataan sangat biadab dipamerkan oleh artis dari Braitain, The 1975 di Sepang malam tadi.
“Ingin saya tegaskan, pendirian Kerajaan Madani amat jelas. Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.
“Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara. Bagaimanapun, jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan,” katanya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan hari ini juga memaklumkan pihaknya akan memanggil penganjur konsert kumpulan The 1975 petang ini, susulan tindakan vokalisnya, Matty Healy menunjukkan perlakuan kurang sopan dalam konsert berkenaan.
Terdahulu, Fahmi dalam ciapan di Twitter turut menyifatkan perlakuan Matty dalam konsert itu sebagai biadap.
Dalam konsert itu, Matty dilihat memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.
Malah, Matty juga membuat ucapan menghina undang-undang negara berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum mencium pemain bass The 1975, Ross McDonalds di pentas.