BANGI, Sabtu – Pertubuhan Gerakan QIAM menyelar kenyataan Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi dari Universiti UCSI berkaitan artikel beliau yang meminta golongan Profesor Melayu dan elit Melayu melawan naratif toksik Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Annuar Musa.
Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh menegaskan, apa yang diperkatakan oleh ketiga-tiga ahli politik berkenaan tidak perlu diambil tindakan.
“Tajuddin dalam artikelnya merayu agar golongan ‘Elit Melayu’ dan ‘Profesor Melayu’ mengutuk tiga ahli politik tersebut yang pada pandangan beliau telah melakukan kesilapan keji (egregious error).
“Sedangkan kita tidak akan menangani apa yang diperkatakan oleh ketiga-tiga ahli politik ini secara individu dengan analisis yang teliti. Kami ingin mengkritik metodologi Tajudin,” kata Sirajuddin dalam kenyataan itu.
Katanya, metodologi yang dikeluarkan oleh Tajuddin itu sepatutnya dikritik kerana beliau menunjukkan isyarat murni (virtue signalling).
Berikutan itu, Sirajuddin berpandangan bahawa apa yang diperkatakan oleh Tajuddin itu tidak tepat, malah beliau sendiri tidak terlibat dengan isu sebenar yang dibangkitkan dalam penulisannya tetapi beranggapan pandangan itu akan segera difahami dan diterima.
Beliau juga membidas sekiranya elit Melayu dan profesor Melayu harus rela tunduk kepada semangat zaman (zeitgeist) sekular kerana jawatan yang mereka pegang.
Tambahnya, kesimpulan yang hanya boleh dibuat oleh Profesor Tajudin adalah kesemua mereka berdiam diri kerana berharap diberi ganjaran yang mana bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sekular dan pada masa ini milik kerajaan yang berpegang kepada ‘doktrin kemajuan’ yang tidak logik.
Sebaliknya, ramai orang Melayu tidak bersetuju dengan pandangan dunia sekular hegemoni tetapi mereka lebih suka melihat kemajuan ke arah pemerintahan Islam.
Pada 10 Julai lalu, Tajuddin menggambarkan beratus-ratus profesor dari pelbagai jurusan boleh mencadangkan naratif balas kepada ketiga-tiga ahli politik tersebut yang dianggapnya sebagai ‘pemenang Oscar’ dalam artikel yang diterbitkan oleh The Sinchew Daily.
Tajuddin turut mempersoalkan sekiranya golongan profesor tersebut berdiam diri kerana mereka terikat di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), ia seharusnya tidak berlaku di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.