BANGI, Sabtu – Mahasisiwa universiti wajar diberikan kesedaran untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15.
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Wafiq Azman berkata, ia berikutan jumlah pengundi mahasiswa turut tidak mendapat sambutan sewaktu Pilihan Raya Kampus diadakan.
“Saya menggesa pihak universiti terutamanya kepimpinan-kepimpinan mahasiswa untuk galakkan memberi kesedaran kepada anak-anak mahasiswa ini untuk turun mengundi dan menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang pengundi,
“Kerana kalau kita tengok pada trend Pilihan Raya Kampus, satu perkembangan yang tidak baik apabila jumlah yang turun mengundi itu kurang daripada lima peratus dan baru-baru ini di UIA, jawatan Presiden Kesatuan Pelajar ataupun kesatuan-kesatuan mahasiswa itu sendiri tiada calon yang belawan.
“Calon yang bertanding itu menang tanpa bertanding. Ini menunjukkan satu signal yang bermasalah dan membimbangkan,” kata Wafiq ketika dihubungi TV Pertiwi semalam.
Menurutnya, kepimpinan mahasiswa dan persatuan dalam kampus perlu memainkan peranan untuk menggesa dan memperbanyakkan kempen kesedaran mengundi kepada masyarakat untuk menjadi pengundi yang bertanggungjawab.
Jelasnya lagi, sebagai persediaan untuk pelajar universiti turun mengundi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memaklumkan kebanyakan mahasiswa sudah pulang ke rumah terutamanya mereka yang telah selesai menjawab peperiksaan.
Mengulas lanjut, kebanyakan IPT juga tidak melaksanakan peperiksaan pada hari Sabtu iaitu tarikh 12 Ogos, pada hari mengundi.
Wafiq turut mengharapkan penglibatan keseluruhan mahasiswa yang terlibat dengan pilihan raya enam negeri untuk turun mengundi sebagai antara golongan yang paling ramai berdaftar sebagai pengundi.
“Kalau kita tengok pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu, jumlah mereka ini di bawah 30 tahun merangkumi lebih daripada lima peratus daripada jumlah pengundi berdaftar.
“Jadi, saya menggalakkan mahasiswa pada hari ini yang terlibat untuk pilihan raya di enam negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos tahun ini untuk ambil masa turun mengundi bagi melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata, pengundi muda dijangka meningkat 10 hingga 15 peratus di setiap kawasan terlibat pilihan raya di enam negeri pada 12 Ogos ini.