BANGI, Sabtu – Penganjur Festival Good Vibes 2023 kesal dengan tindakan kumpulan dari Britain, The 1975 beraksi ‘biadap’ ketika menjayakan persembahan semalam.
Selain mempertikaikan undang-undang lesbian, gay, biseksual transgender dan pelik (LGBTQ) di Malaysia, vokalis The 1975, Matty Healy juga bertindak mencium anggota kumpulannya yang juga lelaki iaitu Ross McDonalds di atas pentas.
Sambil memegang botol arak ketika membuat persembahan, Healy turut meludah dan melakukan aksi kurang sopan.
Pihak penganjur menerusi kenyataan dikeluarkan menyebut, pihaknya terpaksa memberhentikan acara kerana tidak mematuhi garis panduan sepatutnya.
“Festival Good Vibes 2023 akan diteruskan seperti dijadualkan dan kami sangat berbesar hati dengan kehadiran anda pada hari ini dan esok.
“Kepada yang hadir, semalam kami memahami kekecewaan anda. Jika masih mempunyai gelang tangan (tiket masuk) untuk konsert semalam, anda boleh menghadiri festival sama ada pada hari ini atau esok.
“Hanya tunjukkan gelang tangan berkenaan di pintu masuk utama. Kami berharap dapat berjumpa dengan anda tidak lama lagi,” kata kenyataan itu.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Twitter hari ini menyifatkan tindakan kumpulan terbabit adalah biadab dan sudah memanggil pihak penganjur untuk mendapatkan penjelasan berhubung insiden itu.
“Ini satu tindakan biadab. Saya sudah memanggil penganjur untuk beri penjelasan esok dan akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk dapatkan laporan penuh,” tulis Fahmi.