BANGI, Sabtu – Kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di pentas Perikatan Nasional (PN) di Kelantan semalam tidak mampu memberi impak besar kepada kancah politik negara seperti mana pada Pilihan Raya Umum ke -14 lalu.
Penganalisis politik dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr Mazlan Ali berkata, walaupun tanpa sokongan Tun Mahathir parti itu masih kuat dan disokong majoriti orang Melayu.
“ Sebenarnya Perikatan Nasional ni adalah sebuah parti yang sudah kuat.
“Dalam PRU ke-15 yang lalu, Perikatan Nasional tanpa Tun Mahathir telah mendapat 74 kerusi dan menang di empat negeri.
“Dan kalau kita lihat impak sokongan orang Melayu dalam PRU 15 yang lalu kepada Perikatan Nasional agak tinggi dan Tun Mahathir yang bertanding secara solo di dalam pilihan raya lalu melalui Pejuang telah kalah di semua kerusi dan Tun Mahathir sendiri telah kalah di Langkawi yang merupakan kawasan orang Melayu dan juga negeri asal beliau.
“Ini menunjukkan bahawa sokongan semasa Tun Mahathir tidak sebagaimana semasa Tun Mahathir memimpin Pakatan Harapan dalam PRU 14, 2018 lalu,” jelasnya.
Tambah Dr Mazlan, sokongan daripada orang Melayu mungkin tidak akan berubah memandangan PN sendiri merupakan parti yang konsisten membela hak orang Melayu.
Namun, sokongan daripada bukan Melayu kepada PN dilihat akan merosot memandangkan Tun Mahathir membawa naratif yang membela orang Melayu.
“Saya fikir dari segi sokongan orang Melayu, dia tidak berapa tinggi impaknya kerana Perikatan Nasional sendiri pun sudah mendapat sokongan yang maksimum daripada orang Melayu tetapi dari segi sokongan bukan Melayu akan merosot.
“Ini kerana Tun Mahathir membawa agenda perjuangan orang Melayu iaitu membawa naratif proklamasi Melayu,” ujarnya semasa dihubungi TV Pertiwi hari ini.
Semalam, Tun Mahathir muncul buat pertama kali di pentas PN bagi meminta rakyat untuk keluar mengundi pada 12 Ogos nanti.
Jelasnya, rakyat perlu memilih PN bagi mengelak Kerajaan Madani yang gagal untuk terus kekal mentadbir Malaysia.