BANGI, Ahad – Setelah dikecam dan disenarai hitam, vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy, mempersalahkan penganjur atas pembatalan serta-merta sebarang persembahan kumpulannya ke Malaysia.
Healy, dengan angkuh berkata dia telah diundang maka itulah yang penganjur dapat, malah semua ini katanya adalah kesalahan daripada penganjur.
Healy berkata demikian sebagai respons kepada mesej peribadi yang dihantar kepadanya oleh pempengaruh media sosial, Luqman Podolski pada Sabtu.

Tangkap layar pempengaruh Luqman Podolski, yang dibalas Maty Healy.
Pemilik nama sebenar, Luqmanul Haqim Kamaruddin, 25, berkongsikan tangkapan skrin selepas dia menghambur kata-kata kesat dan sikap kurang ajar Healy yang mengakibatkan ramai pihak lain terkesan, antaranya penganjur, vendor makanan dan kumpulan lain.
Luqman juga menegaskan dia tidak peduli dengan ideologi dan pemikiran band tersebut, tetapi mereka mestilah -menghormati undang-undang negara yang mereka lawati.
Dalam responsnya Healy menuding kesalahan terbabit kepada pihak penganjur iaitu Future Sounds Asia kerana mengundangnya ke festival tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, memetik Berita Harian, polis menerima tiga laporan berhubung kelakuan tidak senonoh vokalis kumpulan pop rock The 1975 ketika persembahan di pentas Good Vibes 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, malam kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata polis Selangor menyokong penuh keputusan Kementerian Komunikasi Digital (KKD) untuk membatalkan terus konsert terbabit yang sepatutnya berlangsung tiga hari sehingga esok atas faktor keselamatan.
Hussein berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 509, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Di Indonesia, kumpulan band indie-rock British, The 1975, membatalkan konsert di Indonesia selepas Malaysia membatalkan festival kerana aksi biadab, Healy mencium pemain bass lelaki di atas pentas serta kecaman kumpulan itu terhadap undang-undang anti-LGBTQ.
Undang-undang LGBTQ Indonesia kurang ketat berbanding undang-undang di negara jiran seperti Malaysia yang mana homoseksual adalah jenayah.
Kumpulan itu kemudiannya mengumumkan pembatalan persembahannya di acara We The Fest di Jakarta serta pertunjukan di Taiwan pada Selasa.
“Dengan rasa kesal, The 1975, mengumumkan pertunjukan di Jakarta dan Taipei tidak lagi berjalan seperti yang dirancang,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini di laman Instagram We The Fest.

The 1975, umum pembatalan persembahan di Jakarta.
Bantahan terhadap kumpulan ini bukanlah yang pertama kali, kerana Healy pernah bertindak aksi yang sama dengan mencium peminat lelaki pada konsert 2019 di Emiriah Arab Bersatu, yang ketat mengawal amalan songsang LGBTQ.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menyifatkan tindakan vokalis kumpulam itu, Matty Healy dalam konsert itu sebagai biadap lantas kemudian mengarahkan pembatalan festival itu secara serta-merta.
“Jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, terutama yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan,” katanya dalam tweet.
Ini satu tindakan yang sangat biadab. Saya telah panggil penganjur untuk beri penjelasan esok, dan akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk dapatkan laporan penuh. https://t.co/f4yf4s2XQP
— Fahmi Fadzil 🇲🇾 (@fahmi_fadzil) July 21, 2023
Healy dalam persembahannya juga mempertikai undang-undang LGBTQ di negara ini kerana katanya mengapa kumpulannya perlu mengikut peraturan dengan siapa dia perlu berbuat seks.