BANGI, Ahad – Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid menyifatkan pemilihan calon daripada kalangan ahli keluarga bukan perkara baharu dalam politik tanah air.
Beliau yang dicalonkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh dalam Parlimen Kuala Pilah pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN KE15) bulan depan berkata, perkara itu sudah menjadi biasa sejak beberapa pilihan raya yang lalu.
“Ia sudah menjadi perkara biasa dalam pilihan raya ada calon yang ditampilkan dalam kalangan ahli keluarga.
“Jadi, tidak sepatutnya dijadikan isu kerana calon dipilih daripada kalangan yang terbaik selain berdasarkan jawatan yang disandang dalam parti.
“Sebagai contoh pada PRU15, Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri) bertanding di Langkawi pada masa sama anaknya, Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz) turut bertanding di suatu kerusi lain di Kedah.
“Contoh lain, misalnya sekarang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang mana saya berpendapat soal calon anak beranak ini tak sepatutnya dijadikan isu,” katanya ketika ditemui di Wisma UMNO Negeri Sembilan, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung pemilihannya sebagai calon DUN Juasseh dan anaknya, Mohd Najib Mohd Isa sebagai calon DUN Bagan Pinang pada PRN ini.
Bibi Sharliza menafikan Barisan Nasional (BN) dan UMNO Negeri Sembilan ketandusan calon.
Menurutnya, pucuk pimpinan parti di peringkat negeri dan pusat memilih calon yang terbaik daripada kalangan yang baik.
“Najib sepatutnya sudah diangkat sebagai calon ketika dalam Pemuda lagi dan kebetulan pula rezeki dia bertanding dengan saya pada PRN ini,” katanya.
Untuk rekod, Bibi Sharliza yang berasal dari Kuala Pilah pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi dari 2004 hingga 2008.
Bagaimanapun, anaknya, Najib yang juga Timbalan Ketua UMNO Port Dickson baharu kali pertama bertanding pilihan raya.