BANGI, Ahad – Fenomena peralihan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) kini semakin galak berlaku apabila ramai pemimpin dan akar umbi mula melihat UMNO sebagai sebuah jenama parti yang toksik.

Dr Ariff Aizuddin Azlan
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan menyifatkan, parti keramat orang Melayu itu bukan sahaja semakin tidak disukai tetapi dijauhi berdasarkan kepada prestasi mereka yang kian merosot pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Jikalau kita lihat, mengapa ramai pemimpin beralih sokongan kepada Perikatan Nasional, sekarang ini kita lihat UMNO sudah menjadi jenama toksik kerana ia semakin dijauhi serta tidak disukai yang ini kita boleh lihat berdasarkan prestasi yang diperoleh oleh Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu,” katanya.

Tun Dr Mahathir Mohamad
Fenomena peralihan sokongan kepada PN turut direncahkan lagi dengan kemunculan sulung bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di atas pentas politik parti gabungan itu pada Sabtu lalu.
Jelas, Dr Ariff, kemunculan Tun M itu tidak begitu menghairankan kerana beliau dilihat semakin lunak malah cenderung untuk bersama dengan PN, susulan daripada perseteruan politik yang berlaku dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.
“Jadi kalau kita lihat pembabitan Tun M baru-baru ini, bagi saya itu satu perkara yang tidak begitu menghairankan.”
“Ini kerana Tun M baru-baru ini semakin lunak dan cenderung bersama dengan PN, jadi mungkin saya boleh fikir kerana beliau tidak bersetuju atau menyukai apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim (menjadi Perdana Menteri dalam Kerajaan Madani),
“Jadi ini adalah kita panggil apa, satu perseteruan politik, di mana ia bukan lah satu benda yang baharu kerana ia benda ini sudah berkembang dari semasa ke semasa,” katanya.
Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Program Munajat Rakyat Kelantan Pakat Pertahan dan Amanah Pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu.
Beliau turut merayu kepada semua pengundi agar dapat menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya dan memilih PN sebagai parti yang bakal mentadbir di enam negeri tersebut.