BANGI, Ahad – Tular sebuah video yang menunjukkan beberapa orang warga asing bergaduh dan mendatangkan rasa cemas di kalangan penduduk di Taman Prima Saujana, Kajang minggu lalu.
Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati pergaduhan itu berlaku kerana perebutan dua ejen warga Bangladesh untuk menghantar pesakit ke sebuah poliklinik di lokasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang doktor lelaki berhubung kejadian berkenaan semalam.
Jelasnya, saksi kejadian berusia 35 tahun itu melaporkan tentang kejadian membabitkan sekumpulan warga asing tersebut berlaku di kliniknya.
“Sekitar pukul 6 petang, dua kumpulan warga Bangladesh hadir ke Poliklinik miliknya untuk pemeriksaan kesihatan namun turut didatangi dua ejen berlainan yang juga warga sama.
“Semasa sekumpulan individu itu berada di hadapan premis, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum mula mengeluarkan beberapa batang kayu hoki,”
Tambah Mohd. Zaid, punca kejadian adalah perebutan pelanggan warga asing untuk pemeriksaan kesihatan dan siasatan mendapati tiada kejadian warga asing serang wanita di klinik seperti yang tular di media sosial.
Keadaan kemudian menjadi tegang selepas salah seorang suspek bertindak masuk ke dalam poliklinik menyebabkan pekerja mangsa menjerit dan menghalau kesemua warga asing itu.
Video yang berdurasi 52 yang tular di media sosial itu kini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tambah Mohd Zaid, semua pihak diminta tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
Sekiranya seseorang individu terbabit didapati bersalah dalam menyebarkan berita palsu, tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas individu tersebut.