BANGI, Isnin – Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pelajar menguasai Bahasa Tamil di sekolah menengah kebangsaan menimbulkan pelbagai persoalan.
Perunding Kanan Politik dan Perundangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata, penumpuan sepatutnya diberikan terhadap inisiatif penguasaan pembelajaran Bahasa Melayu dengan lebih agresif di sekolah-sekolah vernakular.
Menerusi kenyataan di Facebook, beliau menyifatkan cadangan Perdana Menteri itu sebagai populis serta turut mempersoalkan tindakannya itu sebagai strategi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Haji Aminuddin berpendapat bahawa bahasa kebangsaan adalah elemen penting dalam membina perpaduan negara, namun kerajaan seolah-olah tidak memandang serius.
Tegas beliau, Perdana Menteri perlu menyelaras tahap silibus Bahasa Melayu yang berbeza-beza setelah sekian lama antara sekolah kebangsaan dan vernakular.
Beliau turut mempersoalkan sekiranya polisi kerajaan pada hari ini menepati Perlembagaan Persekutuan dan falsafah pendidikan kebangsaan.
Sebelum ini, Anwar mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengkaji semula syarat bagi jumlah pelajar untuk mata pelajaran bahasa Tamil yang memerlukan 15 orang pelajar.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga mahu KPM memastikan setiap pelajar menguasai bahasa tambahan selain daripada bahasa kebangsaaan.