BANGI, Ahad – Tujuh warga Malaysia yang terlibat dalam insiden kapal pelancong tenggelam di perairan Pulau Komodo, Labuan Bajo di Indonesia semalam disahkan terselamat.
Kementerian Luar Negeri memaklumkan ketujuh-tujuh mangsa dibawa ke hospital bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
“Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital,” menurut kedutaan dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, kesemua mangsa dilaporkan tidak mengalami kemalangan jiwa.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengikuti rapat bersama pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan perkembangan mengenai insiden terbabit.
Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh berhubung terus dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Terdahulu, media melaporkan insiden itu berlaku jam 11.45 pagi waktu Indonesia Tengah semalam, membabitkan sebuah kapal jenis Phinisi di perairan Pantai Pink, Pulau Komodo, Labuan Bajo.
Kapal itu dilaporkan berlayar dari Manta Point menuju Pantai Pink sebelum mengalami masalah enjin lalu tenggelam dalam pusaran air semasa ditunda oleh sebuah kapal lain.