BANGI, Isnin – Insiden melampau yang terjadi di sebuah festival di Malaysia baru-baru ini menunjukkan sikap dan ‘taring’ sebenar Kerajaan Madani yang cuba membawa masuk budaya hedonisme ke Malaysia.
Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata dengan sejarah hitam yang dilakukan kumpulan muzik The 1975, ia mungkin akan berulang semasa kedatangan kumpulan muzik Coldplay pada November ini.
“Satu dunia tahu, kumpulan ini pro LGBT. Kenapa masih dijemput?
“Katakan ketika pertunjukan nanti, mereka melakukan perkara sama, apakah masih lagi mahu mengeluarkan kenyataan, itu di luar kawalan,” ujarnya.
Kedua-dua kumpulan muzik ini secara terang-terangan menyokong gerakan LGBTQ+.
Namun, apa yang dilakukan kerajaan hanyalah menutup mata dan menunding jari kepada penganjur selepas insiden yang tidak dapat dikawal berlaku.
Tambah Ridhuan Tee, kerajaan seharusnya menghalang insiden ini dari berulang semasa konsert Coldplay nanti dan bukannya mengalu-alukan kumpulan muzik yang menyokong gerakan pelangi itu.
“Bila sudah terhantuk, baru nak tunjuk kelam kabut. Baru nak tunjuk baik.
“Lagi pelik, kenapa tidak dikenakan tindakan terhadap mereka? Kenapa biarkan mereka pulang meskipun telah melanggar undang-undang negara? Takutkan nanti kita dituduh sebagai ekstrem?
“Perkara yang sama akan berlaku kepada kumpulan Coldplay akan datang beraksi tidak lama lagi, pada 22 November ini.
“Pemimpin tertinggi negara, belum apa sudah mengalu-alukan dengan kata-kata selamat datang Coldplay, welcome Coldplay to Kuala Lumpur,” katanya.
Memetik Ismaweb, kata Ridhuan Tee sekiranya insiden yang tidak diingini terjadi sekali lagi adakah kerajaan akan menggunakan alasan yang sama bahawa ia bukan dalam kawalan pihak kerajaan?
Ridhuan Tee memohon kerajaan supaya membatalkan konsert Coldplay pada November nanti serta turut mengecam tindakan kerajaan yang sewenang-wenangnya melepaskan kumpulan muzik itu pulang selepas membuat kekacauan di Malaysia.
Ridhuan Tee turut menambah bahawa segelintir rakyat Malaysia sudah terpengaruh dengan budaya hedonisme apabila pemimpin tertinggi negara sendiri sudah mengalu-alukan kehadiran kumpulan muzik berkenaan.
Jelasnya, rakyat sewajarnya menolak pemimpin yang mahu menghancurkan negara dan merosakkan anak muda dengan budaya suka berhibur secara melampau atau hedonisme.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi ciapan di Twitter menyifatkan perlakuan Matty dalam konsert itu sebagai biadap.
Dalam konsert itu, Matty dilihat memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.
Malah, Matty juga membuat ucapan menghina undang-undang negara berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum mencium pemain bass The 1975, Ross McDonalds di pentas itu.