BANGI, Isnin – Mencium sesama jantina, menghina undang-undang Malaysia sambil memegang botol arak di atas pentas.
Tindakan biadab kumpulan penyanyi 1975 itu yang dilakukan secara sengaja kerana telah mengetahui undang-undang dan budaya negara Malaysia yang tidak mengiktiraf golongan LGBT dianggap mencabar dan tidak menghormati budaya negara ini.
Yang Dipertua ISMA Sepang, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sebuah kumpulan muzik antarabangsa itu yang bertindak keterlaluan, langsung tidak menghormati negara ini.
Beliau berkata unsur-unsur seks bebas dan minuman keras yang dibawa masuk melalui artis luar negara dan konsert merupakan sesuatu yang dikesalkan lebih-lebih lagi ianya disaksikan oleh ribuan anak-anak muda yang menyertai konsert itu.
“Normalisasi budaya songsang perlu diberhentikan dan tidak sepatutnya menjadi suatu platform untuk menormalisasikan agenda asing,” katanya.
Ini bukan kali pertama Malaysia memberi ruang kepada kumpulan penyanyi yang menyokong budaya LGBT kerana pernah menjemput kumpulan lain antaranya ColdPlay.
Ustaz Ibrahim berkata walaupun kumpulan itu tidak mencetuskan apa-apa kontroversi tetapi kehadiran kumpulan ColdPlay adalah sebahagian normalisasi yang mengiktiraf perkara tersebut secara halus.
Malah katanya konsert yang tidak terkawal boleh memberikan kesan ngeatif kepada struktur sosial di Malaysia.
Ini dapat dilihat pada 2014, iaitu konsert Future Music Festival Asia (FMFA) yang berlangsung di Bukit Jalil selama 3 hari berturut-turut apabila enam maut termasuk tiga orang gadis warga tempatan akibat terlebih mengambil dadah sintetik supaya dapat berhibur selama festival tersebut berlangsung.
Sehubungan itu, ISMA menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur Konsert The Good Vibes kerana gagal memastikan pengajuran konsert mengikut garis panduan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
Selain itu, garis PUSPAL perlu disemak semula supaya tapisan lebih ketat dan mampu mengelakkan unsur negatif dibawa masuk ke dalam negara.
Tegas Ibrahim, pemantauan dan penguatkuasaan semasa konsert berlangsung sepatutnya perlu diperketatkan serta memperkasakan tarbiyah Islam dalam masyarakat sebagai asas dan benteng dalam menghadapi unsur hedonisme yang tidak terkawal.
Penyertaan kumpulan The 1975 dalam Good Vibes Festival 2023 pada awalnya sudah ditolak PUSPAL namun kemudian dibenarkan selepas membuat rayuan.