BANGI, Isnin – Tindakan kerajaan membeli 40 buah satelit Starlink disifatkan sebagai satu perbuatan sia-sia kerana masih belum ada infrastruktur sesuai bagi membolehkan perkhidmatan internet tersebut digunakan secara meluas dalam negara.
Demikianlah kata-kata Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Shariff yang beranggapan masih banyak perkara lain perlu dipertimbangkan sebelum negara bersedia menggunakan perkhidmatan internet Starlink.
Tambah beliau, tiada gunanya kerajaan membeli 40 buah satelit sekiranya negara masih belum mempunyai liputan yang sesuai bagi membolehkan perkhidmatan internet Starlink berfungsi.
Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan membeli 40 buah satelit itu ibarat menggunakan telefon bimbit tanpa perkhidmatan kad sim.
Tegasnya, negara masih belum memenuhi syarat untuk pelaksanaan Starlink kerana tiada satelit orbit rendah Bumi (LEO) untuk memastikan kualiti rangkaian internet berada pada tahap maksimum.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat kerajaan untuk menggunakan 40 peranti satelit Starlink di IPT untuk menaik taraf kemudahan capaian Internet di kampus.
Menurut beliau, perkara itu tercetus hasil persidangan video secara maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk, baru-baru ini.