BANGI, Isnin – Malaysia dikejutkan dengan berita pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Beliau meninggal dunia kira-kira jam 9.23 malam semalam ketika dalam rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Perkara itu disahkan menerusi kenyataan anaknya, Fatihah Salahuddin di akaun media sosial beliau.
Sebelum ini, Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB kira-kira jam 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Allahyarham bagaimanapun telah selamat menjalani pembedahan pada pagi Sabtu dan berada dalam keadaan stabil di HSB.
Menurut jadual perancangan dikongsikan oleh Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin, Syakirin Husnal, ziarah jenazah di kediaman ibu Allahyarham ditetapkan pada jam 7 pagi di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai, Johor.
Ziarah jenazah di kediaman Allahyarham pula ditetapkan pada jam 10 pagi di TL7, Jalan Adil, Serkat,Johor
Ucapan takziah dan bacaan al-Fatihah disampaikan baik dari kawan dan lawan.
Antaranya daripada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mana akan sentiasa mengingati jasa perjuangan Allahyarham semasa berada dalam wadah perjuangan politik yang sama.
Manakala Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohammad Sabu berkata peninggalan Allahyarham memberi kesan mendalam kepada beliau yang telah bekerja lama bersama. Beliau turut menghargai usaha Allahyarham yang sering berusaha demi kebajikan rakyat terutamanya dalam memperkenalkan Menu Rahmah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, jasa dan pengorbanan Allahyarham tidak mampu terbalas. Kehilangan Allahyarham memberi kesan besar terhadap beliau dan keluarga.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Ahli Parlimen Muar yang juga Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tiba pada 7.20 pagi tadi serta beberapa Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan.
Solat jenazah diimamkan oleh Perdana Menteri di Masjid Jamek Dato’ Hj Noh Gadot, di Serkat, Johor.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong di lokasi
yang sama kira-kira jam 12 tengahari tadi.