BANGI, Selasa – Menurut satu kenyataan hari ini, Yang Di- Pertuan Dewan Rakyat Johari Abdul menyatakan pihaknya telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pulai berikutan daripada kehilangan penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada kelmarin.
Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Parlimen Malaysia, kekosongan kerusi Parlimen Pulai perlu diisi dalam tempoh 60 hari selaras dengan Perkara 53 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan.
“Saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah mengemukakan suatu pemberitahuan bertarikh 25 Julai kepada pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa Yang Berhormat Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Pulai, Johor, telah meninggal dunia pada hari Ahad 23 Julai 2023.”
“Oleh yang demikian, seleras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai, Johor dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR bahawa ada kekosongan.”

Ramai pemimpin politik menzahirkan rasa kehilangan Allahyarham begitu dirasai memandangkan beliau seorang pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab
Bekas penyandang kerusi Parlimen Pulai, Salahuddin Ayub, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam Ahad.
Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia kerana pendarahan otak.
Sebelum itu, beliau dikejarkan ke hospital pada Jumaat sebelum menjalani pembedahan kecemasan dan diletakkan bawah pemantauan Unit Rawatan Rapi (ICU).
Pada masa sama, Dewan Rakyat turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Salahuddin.
“Di kesempatan ini, bagi pihak Parlimen Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin bin Ayub dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh di sisi Allah Subhanahu Wataala.”