BANGI, Selasa – Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor mendesak Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai mengundur diri daripada bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu dalam Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Naib Ketuanya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar berkata, pihaknya akan menggerakkan seluruh jentera untuk berarak secara besar-besaran sebagai calon bebas sekiranya Dominic masih berkeras untuk menjadi calon di kawasan majoriti Melayu.
“Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor bersama dengan pengundi di Permatang Berangan dan Telok Air Tawar akan memastikan kekalahan kepada calon gerakan di Telok Air Tawar dan calon Bersatu di Permatang Berangan jika tuntutan ini tidak dipenuhi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.
Menerusi kenyataan di Facebook, katanya, gerakan jentera itu juga akan dilakukan bagi DUN Permatang Berangan sekiranya calon daripada BERSATU dipertaruhkan untuk kerusi tersebut.
Tambahnya lagi, jika GERAKAN dan BERSATU tidak mengundur diri daripada menjadi calon di Telok Ayer Tawar dan di Permatang Berangan, pihaknya bersama pengundi akan memastikan kekalahan kepada mereka.
“Jangan sesekali bermain dengan api nanti api itu sendiri akan memakan diri. Jangan cabar kesabaran Pemuda PAS!” katanya.
Terdahulu tular dakwaan setiap parti dalam Perikatan Nasional diberikan satu kerusi dalam tiga DUN di Parlimen Tasek Gelugor.