BANGI, Rabu – Perebutan kerusi antara PAS dan GERAKAN hanya akan membuka ruang kepada pihak lawan untuk monopoli undi akibat daripada perpecahan yang berlaku dalam parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu.
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, rundingan kerusi yang telah dimuktamadkan pimpinan pusat tidak seharusnya dipersoal menjelang detik-detik akhir Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 di enam negeri pada 12 Ogos ini.
“Jadi saya berpandangan keadaan ataupun tindakan tersebut sebenarnya tidak boleh berlaku dalam mana-mana gabungan ataupun komponen parti politik kerana ini akan memberi ruang kepada musuh ataupun seteru politik mereka untuk mengangkat isu tersebut sebagai senjata kepada mereka menentang lawan politik.
“Apa yang dilakukan di Pulau Pinang iaitu perebutan antara kerusi DUN melibatkan di bawah parlimen Tasek Gelugor, bagi saya perkara tersebut perlu dibincangkan di peringkat pimpinan pusat.
“Kalau ada suara untuk menyatakan boikot ataupun mengadakan sabotaj daripada pihak Pemuda PAS kawasan itu bertentangan dengan semangat kerjasama politik yang sebenarnya perlu dibincangkan di peringkat pimpinan pusat, ” ujarnya ketika dihubungi TV Pertiwi hari ini.
Tambah Dr Mohammad Tawfik, tindakan Ketua Pemuda PAS membuat bantahan secara terbuka terhadap pencalonan kerusi Presiden GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Cha adalah tidak sopan dan boleh mencetuskan perpecahan dalam PN.
Jelasnya, ia akan mengganggu strategi PN dalam usaha merampas Pulau Pinang daripada pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
“ Tapi bagi saya tindakan yang semberono ataupun secara terbuka menyatakan ketidakpuasan hati terhadap rakan komponen oleh pemuda PAS itu saya lihat itu sebenarnya tidak molek ataupun tidak sopan sebagai rakan komponen dalam PN.
“Apa sahaja keputusan dilakukan oleh kepimpinan PAS itu perlu akur.
“Tetapi kalau keadaan demikian tidak dikawal dengan segera, saya lihat ini boleh mencetuskan perpecahan di peringkat akar umbi sedangkan PN)di Pulau Pinang itu sedang berusaha untuk seboleh-bolehnya mendapat lebih daripada lebih dari 15 kerusi.
“Ia bagi memastikan bahawa mereka mampu untuk memberi saingan yang sengit kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk mengambil alih kerajaan negeri Pulau Pinang”
Sebelum ini, tular berita yang mendakwa setiap parti dalam PN diberikan satu kerusi di tiga DUN dalam Parlimen Tasek Gelugor.
Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor mendesak Dominic Lau mengundur diri daripada bertanding kerusi DUN majoriti Melayu dalam Parlimen Tasek Gelugor pada pilihan raya ini.
Beliau berkata, seluruh jentera akan digerakkan untuk berarak secara besar-besaran sebagai calon bebas sekiranya Dominic Lau masih berkeras untuk menjadi calon di kawasan majoriti Melayu itu.