SERDANG, Selasa – Apa sahaja cubaan menjatuhkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor dianggap akan lebih mempopularkan lagi Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.
Penganalisis politik, Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, penyokong-penyokong PN hanya akan bertambah kuat kerana wujud perasaan simpati seolah-olah Sanusi telah dianiaya oleh seteru politik yang ingin membunuh karakter politik beliau.
“Kalau kita tengok ada dua kemungkinan, satu pengundi setia rakyat Kedah mereka akan lebih menyayangi bila berlaku kes ini mereka akan lebih menyayangi MB dan wujud perasaan simpati kerana mereka berasakan apa yang berlaku adalah ingin membunuh karakter politik MB Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TV Pertiwi di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Sebelum ini, Sanusi dalam video ucapannya yang tular membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor selain isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.
Susulan itu, beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang, Kuala Lumpur pada 18 Julai lalu, atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.
Mengulas lanjut, Dr Ayuni yang juga pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, UPM berkata bagi pengundi atas pagar mereka akan membuat penilaian samada menyokong ataupun menganggap kenyataan Sanusi itu keterlaluan kerana menyentuh institusi diraja.
“Mereka akan membuat penilaian samada mereka akan menyokong atau merasakan ini keterlaluan bahasa yang agak kasar digunakan MB kerana melibatkan institusi diraja jadi ada dua kemungkinan cuma kalua kita lihat MB di perhimpunan dan ceramah politik keadaan masih penuh cecah 30,000 hingga 40,000 yang datang, jadi masih berpihak kepada MB,” ujarnya
Tambahnya, sambutan ceramah politik PN di Kedah terus mendapat sambutan menggalakkan.
Ini membuktikan Sanusi masih mendapat tempat di hati rakyat negeri Kedah.
Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu semakin popular di media sosial Tik Tok daripada 432,600 pengikut sebelum akaunnya disekat salaam dua hari, telah meningkat kepada 582,400 pengikut ketika ini.
“Kalau di Kedah itu caranya lain masih tak menjejaskan kita tengok akaun tik tok hilang, sekejap sahaja mendapat follower balik, sekarang pun cecah setengah juta follower MB Kedah dekat Tik Tok.
“Kalau kita lihat tidak berkurang cumanya bagi negeri lain ada kesan terutamanya Selangor tetapi kalau di Kedah mereka masih sayang pada MB mereka.”
Sabtu lalu, Sanusi mendakwa ada rancangan untuk membunuh karier politik beliau yang sudah lama dirancang sejak enam bulan lalu.
Katanya, ia berdasarkan maklumat diterima daripada rakan bahawa ‘ada sesuatu’ akan dikenakan terhadapnya susulan kritikan terbuka dibuatnya kepada pihak tertentu.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menafikan dakwaan konspirasi berkenaan dan penahanan yang dilakukan terhadap pemimpin berkenaan adalah berdasarkan kronologi siasatan yang dilakukan pihak polis.