SHAH ALAM, Rabu – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi amaran akan memecat mana-mana ahli yang ingin bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15, 12 Ogos ini.
Jelas Abdul Hadi, tindakan itu diambil kerana ia seolah-olah tidak menghormati keputusan pimpinan pusat Perikatan Nasional (PN).
“Semua nama (calon) dihantar ke pusat, calon-calon diuruskan oleh dewan ulamak dan kita fikirkan calon mana kita hendak pilih.
“Yang penting disiplin parti (kena) ikutlah, kalau tidak ikut automatik dipecat, kita pecat,”
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor yang mendesak Presiden GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Cha supaya berundur dan tidak bertanding di kerusi majoriti Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang 12 Ogos ini.
Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai panel bersama pada program Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan Untuk Rakyat Malaysia di Dewan Konvensyen I-City, Shah Alam, Selangor.
Terdahulu, Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kawasan Tasek Gelugor, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar dilaporkan berkata, pihaknya akan menggerakkan seluruh jentera untuk berarak secara besar-besaran sebagai calon bebas sekiranya Dominic Lau masih berkeras untuk menjadi calon di kawasan majoriti Melayu.