BANGI, Rabu – Kerajaan secara prinsip bersetuju supaya Akta Hasutan 1948 (Akta 15) disemak bagi memastikan ia digunakan hanya untuk melindungi institusi diraja daripada sebarang provokasi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi satu kenyataan rasmi berkata, aspek lain berkaitan provokasi membabitkan agama dan bangsa turut diteliti termasuk penggubalan perundangan baharu jika perlu.
“Aspek lain berkenaan provokasi yang melibatkan agama dan bangsa akan diteliti termasuk penggubalan perundangan baharu jika perlu mengenai keharmonian dan perpaduan negara dengan mengambil kira pandangan Institusi Raja-Raja sebagai ketua agama Islam dan amalan serta prinsip terbaik antarabangsa,” ujarnya.
Tambah beliau, ia bagi menjamin keharmonian dan perpaduan negara dengan mengambil kira pandangan institusi diraja sebagai ketua agama Islam dan amalan serta prinsip terbaik antarabangsa.
“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) akan mengambil langkah yang sewajarnya dalam menyemak secara terperinci Akta Hasutan 1948 [Akta 15] dan memastikan cadangan pindaan yang bakal dicadangkan adalah benar-benar bertujuan untuk melindungi Institusi Raja-Raja secara holistik.”
Persetujuan itu dicapai selepas Azalina membentangkan cadangan tersebut kepada Jemaah Menteri hasil Dialog Perundangan 3R yang telah diadakan pada 21 Julai lalu.
Dialog tersebut diadakan bagi menangani isu provokasi yang melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja.
Tambah Azalina, satu pasukan khas akan ditubuhkan bagi meneliti dan memperhalusi cadangan mewujudkan akta baharu berkaitan isu bangsa, agama dan institusi diraja.