SHAH ALAM, Rabu – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan bukti segala pertuduhan terhadap Mahathir yang dikatakan mencuri wang negara.
Tambah Tun Mahathir, tuduhan tidak berasas yang dilontarkan Anwar tidak dapat menakut-nakutkan beliau kerana Anwar gagal mengemukakan bukti.
“Saya memang takut kalau saya salah, saya tak salah buat apa saya nak takut dia (Anwar) kata saya curi duit, tunjuklah di mana duit tu saya pun seronok kalau saya ada duit banyak.
“Tapi sampai sekarang tak boleh tunjuk bukti kalau rahsia tak usah cakaplah,” ujarnya.
Tun Mahathir turut menambah, rakyat seharusnya memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mengubah ekonomi orang Melayu.
Jelasnya, dengan peluang dan kepercayaan rakyat kepada PN, ia akan dapat mengubah masalah ekonomi orang Melayu yang dilihat ketinggalan berbanding bangsa lain di Malaysia.
“Ini boleh diatasi kerana kita boleh buat latihan sehingga mereka cekap dalam bidang perniagaan , hari ini ada banyak tindakan yang merugikan orang melayu sebab itu mereka ketinggalan.
“Insya-Allah kalau diberi dengan cara yang betul, kita tahu cara atasi masalah ni,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Townhall Bicara Negarawan & Agamawan Untuk Rakyat Malaysia di i-City Convention Centre, Shah Alam, Selangor.
Program itu turut menampilkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul sebagai panel.
Terdahulu, Anwar membuat tuntutan kepada bekas pemimpin negara yang mengambil harta dan wang negara secara haram sebelum siasatan pihak berkuasa dijalankan terhadap individu berkenaan.