BANGI, Rabu – Sejumlah wang tunai kira-kira RM38 juta, emas anggaran berat 200 kilogram bernilai RM60 juta serta 17 buah kereta mewah iaitu Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz disita.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia – Multi Agency Task Force (MATF) dalam Op 82S telah melancarkan operasi besar-besaran Isnin lalu.
Susulan itu, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk serta ahli sekutunya telah ditahan.
Memetik Kosmo, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Menurut sumber, serbuan serentak telah dilakukan di 34 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor dengan melibatkan kekuatan 315 pegawai pelbagai agensi dalam operasi itu.
“Operasi tersebut sekali gus melumpuhkan satu sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.
“Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya telah ditahan dan sejumlah wang tunai anggaran kira-kira RM 38 juta, emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 buah kereta mewah juga telah disita,” katanya.

Antara kenderaan yang disita menerusi Op 82S
Tambahnya, ini merupakan kes pertama yang dijalankan di bawah Pasukan Petugas MATF yang dipengerusikan oleh Peguam Negara.
Operasi itu turut dijalankan dengan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Cyber Security Malaysia (CSM).
Kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967.