SHAH ALAM, Selasa – Sifat murah hati orang Melayu dapat dilihat menerusi gaya hidup masyarakat berbilang kaum dalam negara yang bebas mengamalkan budaya dan kepercayaan masing-masing tanpa mengikut konsep asimilasi.
Pengasas Proklamasi Melayu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu tidak menetapkan sebarang peraturan kepada bangsa lain yang menetap di negara ini dengan mengikuti gaya hidup masyarakat asal.
Mahathir turut berkata, tindakan itu dilakukan atas sifat pemurah orang Melayu yang tidak mahu bangsa lain berasakan mereka terasing dan seolah-olah tidak diterima.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu berkata, orang Melayu tidak boleh menerima kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa Tanah Melayu merupakan milik orang bukan Melayu sehingga boleh menimbulkan kemarahan orang asal.
“Ini menunjukkan bahawa kita murah hati. Kita sanggup memberi apa yang ada pada kita kepada orang lain kerana kita tak nak orang lain ini merasa seolah-olah kita tidak terima mereka. Itu yang kita lihat sekarang. Kita lihat apabila mereka kekalkan identiti mereka, budaya mereka, bahasa mereka, sekolah mereka, maka mereka terpisah daripada kita.
“Dan mereka membawa jalan yang lain, pemikiran yang lain, budaya yang lain, Itu pun kita masih lagi tidak tegur, tidak tolak mereka tetapi apabila datang kepada masa yang mana mereka berkata, negara ini bukan milik orang Melayu sahaja, dia milik kami juga.
“Kami juga dilahir di sini dan ini negara kami, bukan negara Melayu. Itu saya fikir kita sampai kepada tahap yang mana orang Melayu tidak lagi boleh terima dakwaan sebegitu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Townhall Bicara Agamawan dan Negarawan Untuk Rakyat Malaysia di Dewan I-City Convention Centre, Shah Alam, Selangor semalam.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut hadir sebagai salah seorang panel.
Pada 21 Julai, Mahathir berucap di atas pentas Perikatan Nasional buat pertama kalinya di Kota Bharu, Kelantan serta menggesa semua pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Beliau yakin PN mampu memperoleh kemenangan di enam negeri yang berdepan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 pada 12 Ogos ini.