BANGI, Rabu – Pemimpin DAP Pulau Pinang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy mendedahkan, terdapat seorang ‘maharaja’ yang menentukan calon-calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 di negeri itu.
Beliau yang digugurkan daripada senarai calon pilihan raya kali ini berkata, keputusan yang diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke semalam tidak dipersetujui oleh pimpinan DAP negeri kerana ia dianggap sebagai keputusan ‘diktator’ parti berkenaan.
“Saya rasa Pulau Pinang sedang menghadapi satu bahaya di mana seorang membuat semua keputusan. Senarai dikeluarkan oleh Anthony Loke pada Selasa bukanlah senarai yang dipersetujui oleh negeri.
“Saya rasa ini adalah keputusan individu tertentu,” katanya dalam sidang media yang disiarkan di Facebooknya pada Rabu.
Meskipun Satees tidak menyebut nama individu berkenaan, beliau menyatakan dengan jelas bahawa individu tersebut berkuasa untuk menentukan calon DAP di Pulau Pinang.

ADUN Bagan Dalam, Santees Muniandy digugurkan dari senarai calon PRU DUN ke15 Pulau Pinang kali ini.
Sementara itu, beliau secara berseloroh berkata, punca tidak dipilih menjadi calon pada pilihan raya kali ini adalah kerana tidak membawa beg ‘maharaja’ tersebut dan menaiki kereta Vellfire bersamanya.
“Saya rasa memang Pulau Pinang telah memperoleh pencapaian yang membanggakan tetapi itu bukan satu alasan untuk kita benarkan mana-mana diktator untuk bermaharajalela di Pulau Pinang.
“Kita ada demokrasi di sini, kita tidak perlukan maharaja.
“Saya ingin memberitahu ‘maharaja’ tersebut, anda tidak akan selamanya menjadi diktator, rakyat Pulau Pinang tidak bodoh,” katanya.
Dalam pengumuman barisan calon DAP Pulau Pinang pada Selasa, parti itu akan mempertahankan 19 kerusi DUN disandang dan mengekalkan 10 penyandang ADUN sebelum ini.
Ia termasuk bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang akan bertanding di DUN Air Putih dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di DUN Padang Kota.

Senarai calon-calon DAP bagi PRU DUN ke15 Pulau Pinang.
Bagaimanapun, sembilan EXCO termasuk dua Timbalan Ketua Menteri digugurkan antaranya Timbalan Ketua Menteri 2, Dr P Ramasamy yang menimbulkan kontroversi mengenai perkhidmatan awam dikuasai satu kaum.