BANGI, Rabu – Orang Melayu wajib mempertahankan kuasa politik di negara sendiri daripada dikuasai golongan bukan Islam sekiranya tidak mahu hak mereka dicabuli.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, wajib bagi orang Melayu untuk keluar mengundi kerana penguasaan politik umat Islam di negara ini semakin lemah.
Abdul Hadi juga mengingatkan, hak-hak ibadah umat Islam akan diganggu sekiranya penguasaan politik jatuh kepada tangan golongan bukan Islam.
Mengulas lanjut, beliau memberi contoh bahawa rumah ibadah seperti masjid dan surau boleh diroboh sesuka hati serta tidak mustahil ibadah haji juga akan disekat oleh pemerintah bukan Islam.
“Wajibnya mengundi ni, bukan sunat, wajib! Kalau tak mengundi, kuasa politik orang ambik alih. Bila kuasa politik orang ambil alih, masjid dia kuasa, surau dia ambik. Sekarang ni dah terang bila kuasa politik dia ambil alih, kita nak buat perhimpunan pun, dia boleh arah ke sana sini.
“Masjid dia boleh tutup, haji dia boleh larang kalau ada kuasa politik. Semua, kuasa politik ini memayungi semua. Ugama adalah asas, kuasa adalah pengawas. Kalau tiada asas runtuh, kalau tiada kuasa, hilang.
“Jadi kita lihat banyak hukum Islam, jati diri orang Islam hilang kerana kuasa orang Islam sangat lemah. Ini menunjukkan kuasa orang Islam sangat penting, sangat wajib, jangan kita pandang ringan,” katanya.
Beliau juga menegaskan, umat Islam akan ditanya di akhirat kelak tentang tanggungjawab mereka mempertahankan negara, termasuk dalam soal pemilihan pemimpin.
“Malaikat tulis semua. Bukan sahaja ketika sembahyang, termasuk siapa pemimpin yang kita pilih, malaikat tulis. Apabila kita ikut pemerintah, malaikat tulis. Malaikat tulis semua. Akan disoal pada hari kiamat semua perkara, ini kita kena sedar. Jadi orang Melayu kena faham masalah ini,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika Townhall Bicara Agamawan dan Negarawan Untuk Rakyat Malaysia di Dewan I-City Convention Centre, Shah Alam, Selangor semalam.
Minggu lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi pentas dengan PAS menjelang PRN setelah menghadiri program Munajat Rakyat dan Pakat Pertahan PAS Kelantan, di Kota Bharu, Kelantan.
Abdul Hadi menyifatkan keputusan Tun M itu sebagai langkah positif demi penyatuan bangsa Melayu yang sudah lama berpecah belah.