BANGI, Rabu – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy menjadi ‘kambing hitam’ DAP untuk membersihkan nama parti tersebut.
Tindakan DAP menggugurkan Ramasamy daripada menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15, 12 Ogos ini merupakan taktik mereka untuk ‘membeli’ undi Melayu.
Perunding Kanan Politik dan Perundangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata, DAP cuba untuk membersihkan nama mereka daripada gelaran ‘parti rasis’ dengan menggugurkan calon kontroversi pada pilihan raya kali ini.
“ Bagi saya, DAP sekarang ni ialah strategi bagi mengharmonikan pandangan rakyat terutama orang Melayu kepada parti mereka.
“Jadi calon-calon yang mempunyai imej yang kurang baik seperti ini akan digantikan dengan nafas-nafas baru ataupun cara-cara baharu yang mungkin tidak dikenali sebelum ini.
“Jadi DAP akan dilihat sebagai parti yang bersih, yang tidak banyak melakukan kontroversi,” ujarnya.
Aminuddin berkata, Ramasamy tidak layak dicalonkan kerana beliau selama ini banyak membuat kenyataan yang mengundang kontroversi di Malaysia.
Jelasnya, tindakan DAP ke atas Ramasamy itu wajar dilakukan kerana ia akan menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.
“Tapi bagi pihak kita, kita rasa memang wajarlah DAP gugurkan Ramasamy kerana sebelum-sebelum ini beliau banyak menimbulkan isu yang kontroversi,” jelasnya.
DAP mencalonkan Ramasamy untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Keputusan DAP menggugurkan Ramasamy itu bakal menamatkan khidmatnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai selama tiga penggal, selepas mula menyandang kerusi itu sejak 2008 pada PRU12.