PETALING JAYA, Rabu – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, keputusan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 di Selangor dibuat bukanlah atas kehendak beliau, sebaliknya terpaksa akur dengan arahan presiden dan pucuk pimpinan parti.
Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, beliau sememangnya mahu berehat buat sementara waktu namun semua itu diturutkan kerana parti.
“Memang pada asalnya saya nak berehat sementara waktu tapi berdasarkan situasi semasa, parti telah memberikan pandangan supaya saya ambil bahagian dalam PRN kali ini.
“Maka saya akur arahan presiden dan majlis pimpinan tertinggi parti untuk bersama dengan rakan lain menyertai PRN kali ini,” katanya.
Azmin berkata demikian kepada media selepas Majlis Pengumuman Calon PN di Taman Medan, Petaling Jaya malam tadi.
PN mempertaruhkan 56 calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Pengumuman calon-calon PN Selangor oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin di Padang Awam Taman Medan, Petaling Jaya pada Rabu.
Pengumuman dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, Mohamed Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa menegaskan, beliau tidak mahu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor seperti yang pernah diputuskan pada November tahun lalu.
Beliau sebaliknya, mencadangkan supaya calon yang lebih muda menggantikan tempatnya apabila mendakwa sudah pun menjadi wakil rakyat selama tujuh penggal di peringkat DUN dan Parlimen.
Ketika ditanya mengapa beliau tidak memilih untuk bertanding di Bukit Antarabangsa, Azmin berkata, Hulu Kelang merupakan kerusi pertama beliau mendapat mandat daripada rakyat sejak tahun 1999.
“Tidak timbul saya lari dari satu kawasan ke kawasan lain. Sebagai pemimpin kita harus bersedia memberikan khidmat di mana jua yang diperlukan oleh rakyat,” katanya.