BANGI, Khamis – Perikatan Nasional (PN) setuju untuk meletakkan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan timbul konflik penamaan calon selepas PAS DUN Bayan Lepas menyuarakan ketidakpuasan hati susulan hasrat Dominic Lau untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Mereka menetapkan pendirian untuk memboikot proses penamaan calon sekiranya Dominic Lau masih berkeras untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Terdapat tiga DUN di bawah Parlimen Balik Pulau iaitu Bayan Lepas, Pulau Betong dan Teluk Bahang.
Baru-baru ini, media turut melaporkan Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor mendesak Dominic Lau supaya berundur dan tidak berangan-angan untuk bertanding di kerusi majoriti Melayu di Tasek Gelugor Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 nanti.
Kerusi DUN Bayan Lepas dimenangi calon AMANAH, Azrul Mahathir Aziz pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Sebanyak 64.41 peratus pengundi kawasan DUN ini adalah Melayu manakala selebihnya CIna (29.81 peratus), India (5.29 peratus) dan lain-lain (0.49 peratus).