BANGI, Khamis – BERJASA mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN KE15) bagi mengelak pertembungan pelbagai penjuru di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu.
Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, pertembungan dua blok terbesar politik semasa iaitu Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN) juga menjadi faktor keputusan itu dilakukan.
Malah katanya, dengan pertembungan dua blok tersebut, rakyat dapat menyampaikan ketidakyakinan mereka terhadap kerajaan ketika ini menerusi undi pada 12 Ogos nanti.
“Pertembungan dalam PRN kali ini adalah dua penjuru. Oleh kerana itu, BERJASA mengambil satu tindakan ataupun pendekatan bahawa BERJASA tidak akan bersama-sama dalam PRN kali ini.
“Dengan pertembungan dua penjuru itu, mesej yang jelas dapat dibaca dengan tepat dan rakyat dapat menyampaikan ketidakyakinan itu kepada kerajaan supaya kerajaan dapat memikirkan apakah tindakan atau perubahan yang perlu dilaksanakan untuk memenuhi kehendak rakyat,” katanya.
Walaupun tidak mengambil tempat pada PRN kali ini, menurut Zamani, BERJASA akan melancarkan kempen kesedaran mengundi khususnya kepada orang Melayu.
Menerusi kempen ‘Melayu Turun Undi’ ini, BERJASA akan mengemuka dan menyatakan sokongan kepada calon-calon yang mempunyai kewibawaan untuk dijadikan panduan bagi rakyat.

BERJASA lancar kempen ‘Melayu Turun Undi’ di Hotel Tenera, Bangi pada Khamis.
Mengulas lanjut, katanya, kesedaran orang Melayu untuk menunaikan tangggungjawab mengundi masih tidak memuaskan dalam siri PRU lalu dan jika tidak dirawat, ia akan menjadi barah kepada mereka.
“BERJASA memainkan peranan supaya menyedarkan pengundi Melayu kali ini keluar beramai-ramai.
“Penyakit tidak mahu keluar mengundi perlu dirawat sehingga tahu mereka berperanan walaupun seorang untuk menentukan kerajaan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Hotel Tenera, Bangi pada Khamis.