BANGI, Khamis – Ibu kepada anak-anak mualaf, Loh Siew Hong dipercayai cuba untuk menangguhkan bantuan zakat dan akses panduan serta pendidikan Islam yang diberikan kepada anak-anak mualaf tersebut dengan memfailkan permohonan untuk menggantung prosiding.
Susulan itu, mahkamah rayuan memberikan keputusan menyebelahi Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kes anak-anak mualaf itu.
Menurut Peguam, Aidil Khalid, pada 11 Mei lalu, mahkamah rayuan mengesahkan agama anak-anak tersebut masih Islam dengan mengambil kira mereka menunaikan solat lima waktu selain salah seorang daripada mereka menyatakan hasrat ingin menjadi peguam syarie apabila sudah dewasa kelak.
Berikutan itu katanya, MAIPs telah memfailkan permohonan lanjut bagi menjalankan tanggungjawab terhadap kanak-kanak mualaf itu antaranya memberi panduan asas agama Islam dan membawa anak bongsu itu menunaikan solat Jumaat di masjid yang berhampiran rumah mereka.
Selain itu, MAIPs turut membawa anak-anak ini meraikan sambutan hari kebesaran Islam serta memberi bantuan zakat dan membantu menampung kos sara hidup mereka dari aspek pendidikan, keperluan, kebajikan serta lain-lain.
Tambah Aidil, kesemua bantuan ini perlu disalurkan tanpa menafikan hubungan ibu yang bukan Islam.
Bagaimanapun katanya, Siew Hong telah cuba menggantung permohonan ini kerana mahu mencabar keIslaman anak-anak mualaf ke peringkat Mahkamah yang lebih tinggi.
Berikutan itu, Mahkamah Rayuan semalam memutuskan permohonan Siew Hong bagi menggantung prosiding terhadap MAIPs ditolak.