BANGI, Jumaat – Pencalonan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, Pulau Pinang merupakan salah satu strategi parti itu untuk kekal relevan.
Namun, pencalonan Dominic Lau di kawasan majoriti Melayu mendapat tentangan hebat daripada akar umbi PAS sendiri yang berasakan ia adalah tidak wajar.
Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, GERAKAN terpaksa bertanding di kawasan majoriti Melayu menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 walaupun ditentang keras oleh sesetengah akar umbi PAS.
“Parti GERAKAN ni dia macam MCA sebab dulu dalam komponen BN kan dia akan hanya menang bertanding di kawasan Melayu.
“Sehingga kini pengaruh DAP itu adalah kuat di kawasan-kawasan majoriti Cina.
“Jadi Dominic Lau ni dia pemimpin nombor satu GERAKAN dan untuk pastikan dia ada peranan nanti di Pulau Pinang, dia mesti diselamatkan dengan mengambil kerusi Melayu,” katanya.
Jelas Dr Mazlan, dengan komposisi 90 peratus orang Melayu di Bayan Lepas menjadikan kawasan itu menjadi pilihan GERAKAN untuk mencuba mentadbir kawasan itu.
Tambah beliau, Dominic Lau juga tidak bertanding di kawasan Cina memandangkan orang Cina di Pulau Pinang lebih memilih DAP berbanding GERAKAN.
“Kawasan majoriti Cina memang dengan DAP dan di Pulau Pinang juga ada orang Melayu yang menyokong DAP,” ujarnya.
Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) setuju untuk meletakkan Dominic Lau sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas.
Baru-baru ini, media turut melaporkan Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor mendesak Dominic Lou supaya berundur dan tidak berangan-angan untuk bertanding di kerusi majoriti Melayu di Tasek Gelugor pada pilihan raya ini.