BANGI, Sabtu – Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusof, menyifatkan tindakan mensabotaj jentera parti komponen yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai amalan biasa dalam arena politik.
Tambah beliau, tindakan itu berpunca dari rasa tidak puas hati dalam kalangan jentera parti apabila parti politik menamakan individu yang berbeza daripada calon asal yang mahu dinamakan sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dicadang.
Muhammad Fauzi yang dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua juga tidak menolak kemungkinan jentera PAS memboikot penamaan calon Timbalan Presiden PN merangkap Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai di DUN Bayan Lepas.
Namun walaupun berlaku tindakan sabotaj dalam kalangan parti sendiri, kepimpinan PAS akan sedaya upaya mencuba mengawal keadaan di dalam parti itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas proses penamaan calon DUN Sungai Dua di Institut Kemahiran MARA hari ini.
Terdahulu, jentera PAS Bayan Lepas yang dikatakan memboikot Dominic Lau sebagai calon PN di DUN Bayan Lepas, menentang pencabarnya, Azrul Mahathir Aziz dari AMANAH.
Boikot dan tentangan itu awalnya dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor yang meminta Dominic Lau untuk tidak bertanding di kerusi majoriti Melayu.