GOMBAK, Sabtu –Calon N.18 Hulu Kelang, Datuk Seri Azmin Ali menafikan bahawa beliau lari daripada kubu kuatnya di Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
Menurut Azmin, beliau tidak lari seperti yang didakwa oleh musuh-musuh politik kerana yang lari itu adalah bekas penyandang DUN Permatang Pauh yang ke Port Dickson dan kini menyandang kerusi Parlimen Tambun.
“Saya reda atas kekalahan lalu, kita melakukan muhasabah mungkin ada kelemahan harus kita perbaiki. Namun, Hulu Kelang tapak permulaan saya diberikan mandat dalam politik seawal tahun 1999.
“Ketika saya dipilih ahli Parlimen Gombak, Hulu Kelang adalah dalam Parlimen Gombak. Jadi, tidak timbul soal lari seperti yang didakwa oleh musuh-musuh politik saya.
“Yang lari daripada tapak permulaan politk adalah orang seperti Permatang Pauh lari ke Port Dickson dan kini lari ke Tambun tapi Hulu Kelang merupakan kampung saya,” katanya demikian selepas menyerahkan borang penamaan calonnya bagi DUN N.18 Hulu Kelang di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak hari ini.
Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan tidak mempunyai rekod kejayaan setelah lapan bulan diberikan mandat untuk menerajui kerajaan.
Justeru, katanya beliau percaya rakyat di Hulu Kelang dan juga Gombak dan Selangor akan melihat masa depan negeri Selangor dibawah Perikatan Nasional.
Nasib Azmin bakal ditentukan selepas pertembungan satu lawan satu dengan bekas setiausaha politiknya, Juwairiyah Zulkifli daripada PH.
Sementara itu, bagi DUN N17. Gombak Setia, yang juga terletak dalam Parlimen Gombak ditandingi oleh Datuk Megat Zulkarnain Omardin dari Barisan Nasional.
Selepas kerjasama BN-PH termeterai, katanya undi rakyat Selangor adalah penting terutama anak muda untuk memastikan peneraju kerajaan negeri.
“Jangan kita rugikan undi terutamanya anak muda jauhkan daripada terpengaruh dengan politik mengadu-domba kata -kata nista politik fitnah, politik kebencian.
“Ini adalah tidak sehat untuk Negeri Selangor dan kita mesti pastikan generasi muda yang ada di Negeri Selangor adalah generasi yang kita inginkan mereka mempelajari ataupun bersama dengan politik yang positif yang akhirnya boleh memberikan keselesaan buat semua rakyat Selangor,” katanya.
Kerusi DUN Gombak Setia bakal menyaksikan persaingan tiga penjuru diwakili Muhammad Hilman Idham, PN, dan calon Bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali.