TANJONG KARANG, Sabtu – Perbalahan UMNO disifatkan bakal memberi kekuatan bagi calon Perikatan Nasional (PN), Nurul Syazwani Noh pada pilihan raya negeri kali ini .
Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menzahirkan harapan itu selepas beberapa pemimpin UMNO menyatakan kekecewaan mereka.
Beberapa pemimpin UMNO Bahagian Tanjung Karang juga katanya kecewa pada PRN kali ini kerana terpaksa bekerjasama dengan musuh tradisi iaitu Pakatan Harapan (PH).
“Kali ini calon Perikatan Nasional (PN) Nurul Syazwani Noh ialah anak saya, mendapat sokongan dari semua lapisan masyarakat, kumpulan parti politik serta pimpinan UMNO.
“Mereka kecewa sebab yang berlawan dengan yang bertanding (PN) bukan Barisan Nasional (BN) tetapi PH,” katanya.
“Daripada dulu di Permatang, musuh utama BN ketika itu sememangnya PH, jadi mereka mengaku dahulu mereka berlawan dengan PH tidak akan hari ini mereka bersama dengan PH.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengiringi anaknya, Nurul, ke Pusat Penamaan Calon DUN Permatang di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang pagi tadi.
Noh bersama isterinya, Puan Sri Dr Aishah Salleh serta kira-kira 300 penyokong berarak dari tempat penyokong PN dan tiba di luar pusat penamaan itu pada jam 9.10 pagi.
Mengulas lanjut, Noh berkata, pergolakkan yang berlaku daripada pimpinan UMNO bahagian memberi tolak tambah pada peralihan undi UMNO kepada anaknya yang memihak kepada Perikatan Nasional (PN).
Terdahulu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang berdepan saingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRU DUN KE 15) yang ditandingi Calon PN, Nurul Syazwani Noh manakala calon PH, Mohd Yahya Mat Shari.