BANGI, Sabtu – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyifatkan peruntukan yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai peruntukan kepada pasukan bermotosikal di Terengganu telah jelas melanggar prinsip ‘tidak bersyarat’ dalam prinsip 3 C – iaitu tidak bersyarat (no condition), tidak berkempen (no campaign) dan tidak membawa calon (no candidate).
BERSIH dalam satu kenyataannya berkata secara terang-terangan Ahmad Zahid telah meminta belia untuk mengundi gabungan PH-BN untuk kekal mendapatkan peruntukan yang diperkatakan.
Sehubungan itu, BERSIH menggesa Kerajaan supaya amanah dalam menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan serta tidak menyalahgunakan kuasa dalam membuat sebarang pengumuman dasar serta peruntukan daripada kementerian dan agensi Persekutuan sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Negeri Dewan Undangan Negeri ke- 15(PRU DUN 15).
“BERSIH merujuk kepada pengumuman daripada Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk menambah geran kepada persatuan tersebut sebanyak RM100,000.
“Selain itu, beliau juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri tersebut. Jumlah peruntukan yang diumumkan semasa program Sentuhan Kasih Desa itu berjumlah lebih setengah juta ringgit,” katanya.
Ahmad Zahid dalam ucapannya secara jelas mengenakan syarat apabila menambah bahawa jumlah peruntukan ini akan dinaikkan sekiranya parti beliau menang dalam PRN ini dan berkempen di hadapan para belia yang hadir untuk memenangkan arus merah biru yang merujuk kepada gabungan parti kerajaan dalam pilihan raya kali ini .
Jelas agensi itu, larangan 3C adalah untuk ‘menutup lubang’ bagi kerajaan bukan sementara, tanpa melarang mereka daripada melaksanakan amanah masing-masing.
Justeru, BERSIH menggesa Perdana Menteri untuk mengawal anggota Kabinetnya dan semua ketua agensi Persekutuan supaya tidak membuat pengumuman dasar atau peruntukan secara semberono, yang melanggar larangan 3C.
Zahid dalam ucapannya di Terengganu sebagai Meneri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju memperuntukkan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri berkenaan.
Bagaimanapun katanya jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Namun, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa tindakan yang dilakukan Ahmad Zahid secara tidak lansung seolah-olah menormalisasikan rasuah semasa pilihan raya.
Kenyataan Syed Saddiq itu kemudian dibidas semula oleh Ahmad Zahid yang menegaskan golongan belia di negara ini memerlukan peruntukan yang cukup untuk mereka menjalankan aktiviti dan bukannya bermaksud beliau cuba menormalisasikan rasuah sebagaimana dakwaan Syed Saddiq.