SHAH ALAM, Sabtu – Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi mahu semua calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN KE15) kali ini tidak menyentuh isu sensitif berkait Agama, Raja dan Bangsa.
Beliau yang juga calon di DUN Kota Anggerik berkata, akan berkempen secara matang dan berhemah seperti yang disaran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Kita telah bersedia daripada segi jentera, daripada segi logistik dan sebagainya dan kita akan pastikan kempen kali ini berjalan dengan baik, dengan matang dan berhemah tanpa menyentuh sebarang hal-hal sensitif, isu provokasi seperti mana yang telah diingatkan oleh Sultan Selangor agar semua calon-calon yang bertanding pada kali ini supaya berkempen dengan baik dan tidak menyentuh isu-isu berkait agama, raja dan bangsa”
Beliau yang ditemui pemberita selepas penamaan calon pada Sabtu yakin akan mempertahankan kerusi DUN Kota Anggerik seterusnya memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).
Sebelum ini, pencalonan Najwan mendapat tentangan daripada beberapa ahli PH kerana kenyataan berbaur perkauman terhadap Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan salah seorang calonnya.
Najwan kemudian membuat permohonan maaf selepas tangkap layar kenyataan itu tersebar di media sosial.
Tangkap layar itu memaparkan Najwan menulis “parti India estet” sebagai respons terhadap berita pengumuman PSM bahawa parti itu meletakkan aktivis sosial Sivaranjani Manickam di Meru untuk pilihan raya Selangor.
DUN Kota Anggerik menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang melibatkan Perikatan Nasional (PN), Mohamed Shukri Omar, Najwan Halimi dan Azad Akbar Khan sebagai calon ketiga dari Parti MUDA.
Pengumuman tersebut dilakukan oleh Pegawai Pengurus PRN DUN Kota Anggerik setelah berpuas hati menyemak semua borang pencalonan dan tiada calon yang ditolak pencalonannya.