BANGI, Sabtu – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan pencalonan yang terakhir buatnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Ke-15.
Beliau yang merupakan calon PAS kerusi DUN Pasir Pekan berkata pencalonannya itu memasuki penggal ketujuh dan sudah tiba masanya memberi laluan kepada calon lain yang lebih muda selepas ini.
Katanya, pembabitan dalam politik seperti kitaran yang mana perlu berkorban sekiranya sudah mencapai tahap keupayaan yang semakin perlahan.
“Saya sudah masuk penggal ketujuh dan kalau langit pun ada tujuh lapis, cukup lah tu. Lepas ini insya-Allah cukuplah, kita bagi kepada orang muda.
“Politik ni macam kitaran. Bukan sebagaimana kerja kerajaan yang ada tempoh tapi kerja politik ni (bergantung kepada) upaya yang kita akan korban.
“Kita dalam PAS tak akan ‘cah keting’ walau ada parti cah keting, tapi kena ada pengorbanan. Yang tak berupaya tu duduk belakang,” katanya.
Ahmad Yakob bakal berdepan dengan calon Pakatan Harapan (PH-PKR) Mohamad Zamakh Sari Ibrahim pada PRN kali ini.
Katanya lagi, walaupun penggal terakhir, perjuangan bersama parti tetap diteruskan, malah sudah mula melatih barisan pelapis yang terdiri daripada kalangan orang muda untuk menggantikan pemimpin sedia ada suatu hari nanti.