BANGI, Sabtu – Proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pagi tadi berjalan lancar dan terkawal tanpa insiden tidak diingini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media di Bukit Aman, memaklumkan situasi sama juga dilihat sepanjang proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.
Katanya, pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di 173 pusat penamaan calon di enam negeri terbabit mendapati calon dan kumpulan penyokong memberi kerjasama baik dan mematuhi segala arahan serta peraturan ditetapkan.
“Kita berterima kasih kepada semua calon dan kumpulan penyokong yang menunjukkan kematangan semenjak proses penamaan calon bermula jam 9 pagi tadi. Secara keseluruhan, proses ini berjalan dengan baik sehingga selesai jam 11 pagi,” katanya.
Seramai 17,176 pegawai dan anggota PDRM ditugaskan di lapangan bagi memantau perjalanan proses penamaan calon di 173 pusat di enam negeri berkenaan.
Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman turut menggerakkan 82 pasukan Op Cantas, membabitkan 1,459 pegawai dan anggota bagi memantau proses penamaan calon, hari ini.
Bagi memantapkan tugas pemantauan, katanya, polis turut menggunakan dron kendalian Unit Dron PDRM di enam negeri berkenaan dengan visual dihantar terus ke pusat gerakan Op Room Cantas PDRM di Bukit Aman.
“Dron-dron itu juga akan digunakan untuk memantau situasi pada hari mengundi nanti,” katanya.
PRN pada 12 Ogos nanti membabitkan 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) dengan pengundian awal pada 8 Ogos.
Turut diadakan serentak adalah PRK Parlimen Kuala Terengganu. – Berita Harian